Pengasas eHATI Nafi Sebar Ajaran Sesat, Umum Saman Pihak Sebar Fitnah

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri yang juga pengasas program motivasi rumah tangga eHATI, Diana Tahir dan Rahim Shukor, tampil menafikan dakwaan bahawa program mereka menyebarkan ajaran sesat, sambil memaklumkan tindakan undang-undang sedang diambil terhadap pihak yang menyebarkan fitnah tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, pasangan itu berkata tuduhan tidak berasas yang tular di media sosial bukan sahaja menjejaskan reputasi dan operasi sah program eHATI, malah turut memberi kesan emosi mendalam kepada keluarga mereka.

“Kami ingin menegaskan bahawa eHATI dimiliki sepenuhnya oleh kami berdua dan tidak melibatkan ahli keluarga lain. Sebarang penyebaran hantaran fitnah yang mengheret keluarga kami, akan diambil tindakan undang-undang,” tegas mereka.

Pasangan itu juga memaklumkan sudah membuat laporan polis pada 12 Julai lalu selain kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut.

Kontroversi tercetus selepas seorang pengguna Facebook mendakwa program motivasi tersebut kononnya menyebarkan ajaran sesat yang mensasarkan wanita bekerja yang berdepan krisis rumah tangga.

Bekas peserta mendakwa ajaran mereka berselindung di sebalik slogan keluarga bahagia dan seni cinta rumah tangga, termasuk menggunakan buku berunsur Hindu sebagai rujukan.

Bagaimanapun, Diana dan Rahim menolak keras dakwaan itu.

Mereka menafikan sebarang unsur ajaran yang menyeleweng akidah Islam, malah menjelaskan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana parti politik.

“Kami mengingatkan pihak berkuasa termasuk Jakim, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan agensi berkaitan untuk meneliti fakta sebenar sebelum membuat apa-apa keputusan berdasarkan maklumat tular di media sosial,” kata mereka.

Pasangan itu turut menjawab beberapa dakwaan lain termasuk kononnya peserta diberi minuman misteri dikenali sebagai ‘Piya’ yang didakwa mengandungi bahan terlarang.

“Sebenarnya ia hanyalah campuran koko asli, madu dan rempah semula jadi yang diformulasi untuk membantu menenangkan fikiran. Tiada sebarang bahan terlarang atau ‘cendawan ajaib’ seperti yang digembar-gemburkan,” jelas mereka.

Berhubung gambar tular yang menunjukkan peserta berada di Bali, Indonesia, mereka menjelaskan ia hanyalah sebahagian program ‘retreat’ yang menampilkan aktiviti ‘breathwork’.

Bunga-bunga yang kelihatan hanyalah hiasan disediakan pihak hotel, sementara individu lelaki dalam gambar berkenaan adalah pakar detox kesihatan, bukan guru spiritual agama lain.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dilaporkan telah memulakan siasatan terhadap program tersebut.

BBerkaitan

Latest articles