Pengaruh Besar, Musa Aman Boleh Jadi KM Sabah Semula

Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berpeluang merampas jawatan itu daripada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berdasarkan pengaruh besar yang dimilikinya.

Penganalisis politik, Dr Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberitahu Musa masih mempunyai sokongan yang sukar dinafikan meskipun tidak memegang sebarang jawatan di dalam parti.

”Saya juga menjangkakan Musa dengan pihak yang menyokongnya akan mencapai kompromi untuk memutuskan logo apa yang akan digunakan pada PRN nanti,” katanya.

Lee, bagaimanapun percaya kempen yang akan digunakan oleh Musa dan Shafie lebih kepada elemen naratif mangsa supaya masing-masing mendapat kelebihan undi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, nanti.

“Shafie akan menuduh lawannya cuba membeli Adun beliau, manakala Musa pula dijangka mendakwa dinafikan peluang untuk mengambil alih kerajaan selepas mempunyai akuan bersumpah yang menunjukkan beliau memiliki majoriti seperti Shafie pada 12 Mei 2018.

“Bagaimanapun, rakyat di Sabah mengikuti perkembangan politik semasa dan mengetahui hal sebenar, ini semua diambil kira dan dipertimbangkan oleh mereka untuk menentukan siapa yang akan diundi.

“Dari segi manifesto pula, ianya pasti akan memberi kelebihan kepada parti atau gabungan yang memihak kepada kerajaan persekutuan,” katanya memetik laporan FMT.

DUN Sabah terbubar selepas Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri mengikut Fasal (2) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sabah.

Tindakan itu bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hati pada Musa dengan berkata tindakan membubarkan DUN adalah tidak wajar apatah lagi dirinya sudah memperolehi majoriti mudah untuk menewaskan Shafie dan membentuk kerajaan baru.

Sementara itu, Lee berpandangan rakyat juga mungkin akan melihat potensi beberapa parti tempatan, antaranya Parti Cinta Sabah yang diterajui Datuk Seri Anifah Aman ketika PRN Sabah kelak.

 

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,803FollowersFollow
20,900SubscribersSubscribe

Terkini