Pengarah NSK Holdings Sdn Bhd Didenda RM340,000 Benarkan PATI Masuk Ke Premis

Pengarah syarikat NSK Holdings Sdn Bhd, Datuk Chiew Lian Keng dikenakan hukuman denda RM340,000 atau dipenjarakan 68 bulan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Ahmad Sazali Omar atas kesalahan membenarkan 68 orang pendatang tanpa izin (PATI) masuk ke dalam premisnya pada bulan Januari lalu.

Dia yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Negara mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya borong NSK Trade City di Taman Teknologi Cheng di Melaka.

Lian Keng, 56 tahun, dituduh membenarkan 68 pendatang tanpa izin terdiri daripada 51 lelaki warganegara India, 11 lelaki (Pakistan), tiga lelaki (Myanmar), dua lelaki (Bangladesh) dan seorang lelaki (Nepal) memasuki premisnya kira-kira pukul 4 petang, pada 22 Januari lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta sama, yang membawa hukuman denda RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap pendatang tanpa izin ditemukan di premis.

Ahmad Sazali dalam penghakimannya mendenda tertuduh sebanyak RM5,000 atau sebulan penjara bagi setiap pendatang tanpa izin atau keseluruhan RM340,000 atau 68 bulan penjara.

Hakim berkata, sebagai seorang pengarah syarikat tertuduh perlu mengambil tahu tentang pengambilan pekerja syarikatnya dan memastikan proses itu diurus dengan baik supaya perkara seperti ini tidak berlaku.

Beliau berkata, terdapat banyak kesan akibat pengambilan pekerja tanpa dokumen disahkan terutama melibatkan faktor kesihatan dan sebagainya.

Pertuduhan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia, Nuratika Aman manakala tertuduh diwakili peguam Zaflee Pakwanteh.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,871FollowersFollow
21,200SubscribersSubscribe

Terkini