KUALA LUMPUR: Selain permohonan maaf, penganjur majlis makan malam yang menyediakan persembahan tarian mencolok mata di Tanah Merah pada Sabtu lalu juga telah membayar kompaun berjumlah RM10,000 kepada Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) hari ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah, surat permohonan maaf dihantar kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung kesalahan itu.
“Penganjur menulis surat aku janji kepada PBT bahawa rujukan acara akan dibuat terlebih dahulu sebelum menganjurkan aktiviti selepas ini,” katanya seperti memetik laporan Kosmo.
Hilmi dalam masa yang sama memaklumkan bahawa jumlah kompaun akan meningkat kepada RM50,000 mulai 1 Jan depan berikutan kerajaan negeri meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Kelantan) 2024 bagi kawalan dan pelesenan.
Selain itu mana-mana individu atau syarikat yang mahu menganjurkan program hiburan dinasihatkan supaya mengemukakan permohonan awal bagi memudahkan proses semakan sekali gus mengelakkan berlaku pelanggaran.
Sebelum ini, Hilmi mengesahkan PBT membuka kertas siasatan terhadap penganjur terbabit.
Sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) turut disiasat kerana majlis itu diadakan di dewan sekolah terbabit.
Katanya, semakan dengan MDTM mendapati pihak penganjur tidak memohon permit untuk penganjuran acara terbabit.