KOTA BHARU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan meliwat kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dalam sebuah kontena, 12 Jun lalu.
Tertuduh, Che Asmizan Che Jaafar, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulkifli Abllah, menurut Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun lima bulan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam kontena kosong berhampiran Stesen Bas Lembah Sireh pada 8 malam, 12 Jun lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan dan hakim meminta tertuduh melantik peguam berikutan kes itu adalah serius.
Mahkamah kemudiannya menetapkan kes disebut semula pada 21 Julai untuk serahan dokumen.