KUALA LUMPUR: Hasrat Pejuang untuk bertanding sendiri di 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (PRN) Johor akan datang, hanya mengundang malapetaka buat parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
Penganalisis Politik, Dr Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, keadaan itu boleh berlaku kerana Pejuang tidak mempunyai jentera akar umbi yang kuat di negeri itu, meskipun nama Dr Mahathir gah di peringkat pusat.
Ujarnya lagi, Pejuang dianggap bertuah jika memenangi hanya satu kerusi DUN sahaja.
“Akhirnya, Umno, dengan penggemblengan besar akar umbinya, hampir pasti akan menang begitu saja di kebanyakan kawasan majoriti Melayu, diikuti jauh oleh PAS.
“Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu akan berasa diri mereka bertuah jika dapat memenangi paling banyak separuh daripada apa yang dimenanginya pada 2018,” katanya memetik laporan FMT.
Pandangan yang sama juga disuarakan oleh Prof Madya Dr Azmi Hassan, yang juga felo kanan penyelidikan strategik Akademi Nusantara, dengan berkata Pejuang akan bergelut untuk memenangi hati pengundi kerana parti itu tidak “sinonim” dengan Johor, tidak seperti Umno, Bersatu dan MUDA.
“Malah, PAS mempunyai sokongan akar umbi di Johor yang jauh lebih baik berbanding Pejuang,” katanya.
Azmi juga percaya Pejuang akan tewas jika ia berkeras untuk bertanding di 42 kerusi.
“Mereka harus memberi tumpuan kepada satu atau dua kerusi di mana mereka ada pengaruh dan boleh menarik beberapa undi daripada Umno dan Bersatu,” katanya.
PRN Johor dijangka akan diadakan menjelang 23 Mac, dengan 56 kerusi DUN dipertandingkan.
Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas pada Rabu untuk menetapkan tarikh hari penamaan dan mengundi.