More

    Penganalisis Jangka Anifah Ada Potensi Jadi KM Sabah

    Sebagai Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) yang menang tanpa bertanding, Datuk Seri Anifah Aman berpotensi untuk diangkat sebagai ketua menteri sekiranya parti itu menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Penganalisis politik, Dr Arnold Puyok berkata, sokongan terhadap Anifah yang juga bekas menteri luar itu bersandarkan kepada sikapnya yang disenangi oleh rakyat tempatan selain sering memperjuangkan isu dan kepentingan Sabah.

    ”Ramai berpendapat sebegitu (Anifah sebagai calon ketua menteri) kerana beliau dilihat boleh diterima oleh semua orang dan beliau juga mempunyai pandangan sederhana serta seorang yang pro-Sabah,” katanya.

    Anifah, kini menerajui PCS dan mahu meletakkan calon di hampir kesemua kawasan bagi PRN Sabah.

    Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Anifah berkata PCS nekad memperjuangkan isu-isu penting yang berkaitan rakyat Sabah, termasuk Perjanjian Malaysia (MA63).

    Malah tempoh menghampiri PRN Sabah ini, Anifah juga mengingatkan pihak luar, terutama kerajaan persekutuan untuk tidak mengambil kesempatan menawarkan ‘manfaat’ kepada rakyat tempatan.

    Arnold juga berpendapat, peluang yang sama dapat dilihat bagi Presiden STAR, Datuk Jeffrey Kitingan dan Presiden PBS, Datuk Seri Maximus Ongkili yang mempunyai pengaruh besar ke atas pengundi Kadazandusun Murut (KDM).

    PRN Sabah akan datang bakal menyaksikan ramai muka-muka lama pemimpin politik negeri bakal membuat kemunculan semula.

    Antara yang disebut-sebut adalah Tan Sri Chong Kah Kiat, Datuk Seri Salleh Tun Said dan Datuk Seri Yong Teck Lee, serta Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini