Penganalisis Cadang Tok Mat Jadi TPM, Pangku Jawatan Presiden Ganti Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Untuk menjamin kestabilan kerajaan perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, wujud keperluan untuk peralihan kuasa di peringkat kabinet dan kepimpinan UMNO.

Penganalis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berpendapat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar mempertimbangkan agar Datuk Seri Mohamad Hasan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Begitu juga di peringkat parti, Mohamad juga perlu diberikan tanggungjawab memimpin UMNO sebagai Presiden parti itu.

Bagaimanapun Mohammad Tawfik percaya tidak mudah bagi Ahmad Zahid memberi laluan sedemikian.

“Namun, saya melihat Ahmad Zahid tidak semudahnya akan berundur walaupun ada desakan daripada pelbagai pihak.

“Ia melainkan Ahmad Zahid dan Tok Mat sepakat bersama untuk berundur bagi memberi ruang pemulihan kepada UMNO sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Namun beliau menjelaskan lagi situasi seperti itu pernah dilakukan pada 2018 apabila Tok Mat mengetuai Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan Tanjung Piai, pencapaian UMNO-Barisan Nasional (BN) sangat cemerlang sehingga kedua-dua kawasan tersebut dimenangi BN.

Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM) itu turut berkata, rakyat sudah nampak apa yang berlaku kepada UMNO-BN dan telah dua kali parti itu berhadapan dengan situasi sukar.

Ia semakin memburuk apabila kedudukan UMNO-BN terus mengalami kemerosotan kerusi yang amat teruk iaitu pada PRU15 dan semasa enam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Mohammad Tawfik berpandangan, tindakan Ahmad Zahid yang enggan berundur bukan hanya memberi kesan kepada UMNO, bahkan Pakatan Harapan (PH) juga akan menerima tempiasnya.

“Apatah lagi negara akan berhadapan dengan PRK Pulai, Simpang Jeram dan negeri Sabah selepas ini.

“Justeru ‘pendarahan politik’ yang sedang dialami oleh UMNO perlu dihentikan segera kerana bukan sahaja boleh melemahkan UMNO-BN tetapi akan mewujudkan beban kepada PH,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, Ahmad Zahid perlu berjiwa besar melepaskan jawatan Presiden UMNO secara terhormat untuk tidak lagi menjadi liabiliti kepada BN dan PH.

BBerkaitan

Latest articles