Pengambilan Pelajar Baru Merosot 50%, Kolej Di Bawah Yayasan Sabah Mahu Potong Gaji Kakitangan

Pengurusan Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) merancang untuk memotong sehingga separuh gaji kakitangannya, malah turut mempertimbangkan cadangan memberhentikan sebahagian daripadanya akibat kemerosotan pendaftaran pelajar baru kerana wabak Covid-19.

Dalam satu memo, langkah itu bakal diambil sebagai usaha mengurangkan kos.

“Walaupun jutaan ringgit bantuan kewangan dan geran biasiswa diperolehi oleh UCSF dari pelbagai agensi, hakikatnya misi pengambilan pelajar baru gagal,” kata Naib Canselor Mohamed Haleem Mohamed Razi dalam memo itu.

“Hanya 18% daripada sasaran semester April dicapai. Keadaan ini sangat menjejaskan kedudukan kewangan UCSF.”

Menurut skim pengurangan kos itu, kakitangan akan dikenakan pengurangan gaji kasar sebanyak 50% dengan jam bekerja dikurangkan kepada 20 jam seminggu.

Tempoh mengaktifkan semula kedudukan kewangan akan dilanjutkan sehingga September depan.

Jika keadaan sebaliknya berlaku, maka pengurusan dikhabarkan akan mengurangkan jumlah kakitangan kepada bilangan minimum supaya operasi dapat diteruskan.

Malah mereka turut merancang untuk memberi program cuti tanpa gaji mulai Oktober depan dan membuka ruang untuk mereka mencari pekerjaan baru.

UCSF, yang ditubuhkan pada 2013, milik Yayasan Sabah, sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri. Ketika ini ia mempunyai hampir 200 kakitangan dan 400 pelajar berdaftar.

BBerkaitan

Latest articles