Pengajaran Dari Seberang, Sebab Itu Kita Mesti Menang Bersama Melawan Pandemik Ini

 

“Kedegilan rakyat sempena sambutan Aidilfitri masih dianggap punca peningkatan jumlah kes harian dalam seminggu terakhir dan dijangka berterusan hingga Julai…”

Ayat yang digunakan ketika laporan berita mengenai keadaan hospital di Jakarta, Indonesia hampir lumpuh akibat peningkatan kes Covid-19 beberapa minggu kebelakangan ini.

Kevin Budiarto selaku wakil TV3 di Jakarta memberitahu, mereka yang benar-benar serius sahaja akan dilayan untuk rawatan. Mereka yang masih belum kritikal tidak diutamakan untuk ditempatkan dalam wad kerana keadaan terlalu mendesak untuk sedemikian rupa.

Tiga hospital besar kerajaan telah ditukar menjadi ‘Hospital Covid-19’ secara 100 peratus. Itupun masih belum mencukupi untuk menanggani kes yang telah menjangkau 21,000 kes dicatatkan pada 26 Jun 2021.

Kita tak dengar lagi cerita berapa ramai barisan frontliners mereka terdiri daripada para doktor dan jururawat yang telah dihidapi virus berkenaan. Malah ada yang terkorban ketika sedang melawan pandemik berbahaya ini.

Tak berniat nak memburukkan jiran kita itu, namun rata-rata menyebut ramai dalam kalangan penduduknya tidak patuh kepada arahan kerajaan supaya duduk di rumah, mengambil suntikan vaksin, memakai pelitup muka dan rajin membasuh tangan.

Mereka ingkar dan tidak memperdulikan apa yang kerajaan minta lakukan. Mereka anggap Covid-19 ini sekadar ciptaan propaganda dan teori tertentu sekadar suatu penipuan kepada umat manusia.

Apatah lagi dengan kehadiran varian Delta dari India di Indonesia baru-baru ini, ia telah merubah graf kebolehjangkitan virus tersebut di dalam komuniti Indonesia yang cukup padat tersebut.

Mengambil pengajaran dari seberang, kerajaan negara kita telah berkali-kali menasihati dan mengarahkan rakyat untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Kerajaan turut menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pelbagai versi dengan mengambil pedoman hadis Nabi Muhammad SAW iaitu tidak membenarkan keluar masuk dalam kawasan jangkitan wabak.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) juga digerakkan mengikut beberapa fasa dengan penggabungan dua kementerian utama iaitu Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Walaupun angka mereka yang telah divaksin masih belum mencecah separuh berbanding populasi, namun kejayaan 200,000 suntikan dalam sehari merupakan suatu perkembangan yang lebih baik berbanding negara lain.

Cuba kita bandingkan kadar vaksinasi antara negara kita dengan negara maju kebanggaan ramai iaitu Singapura. Sejak awal tahun 2021, sehingga 24 Jun lalu, Singapura baru sahaja berjaya memvaksinkan seramai 2 juta penduduknya berbanding 5.6 juta keseluruhan populasi.

Berbanding Malaysia yang baru sahaja bermula 24 Februari 2021, kita telah berjaya memberi vaksin kepada 6.82 juta orang. Melebihi jumlah keseluruhan penduduk Singapura.

Bahasa mudahnya, jika Malaysia sebesar saiz Singapura, ini bermaksud satu negara kita sudah selamat dan berjaya menerima vaksin hari ini.

Justeru kuncinya ada pada kita sendiri. Kayu ukur kejayaan atau kegagalan melawan virus Covid-19 ini adalah bilangan virus tersebut menjangkiti manusia.

Jadi jika kita selaku rakyat mampu sama-sama menjaga diri dan orang sekeliling dari dijangkiti virus tersebut, maka kita berpeluang untuk mengurangkan kes positif. Kejayaan ini tidak boleh ‘diambil kredit’ oleh orang lain, melainkan kita sesama sendiri yang berusaha sendiri.

Justeru sama-samalah kita menang bersama melawan pandemik ini.

BBerkaitan

Latest articles