Penerimaan Gelombang Biru Kembali, Rakyat Sabah ‘Rindu’ Pemerintahan BN

PUTATAN: Barisan Nasional (BN) mendakwa sokongan rakyat Sabah terhadap gabungan itu semakin melonjak apabila setiap siri jelajah kepimpinan parti di seluruh negeri menerima sambutan luar biasa, khususnya daripada golongan muda dan komuniti luar bandar.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, berkata fenomena itu menunjukkan “gelombang biru” masih berakar kukuh di hati rakyat Sabah, malah mereka dikatakan merindui semula era pentadbiran stabil di bawah BN.

Menurutnya, rekod lalu membuktikan BN Sabah tidak pernah tumbang, dan sokongan rakyat hanya kelihatan terjejas akibat budaya lompat parti dalam kalangan ahli politik tertentu.

“Asasnya rakyat Sabah tidak pernah menolak BN. Mereka tetap setia dan tegar bersama perjuangan BN,” katanya ketika berucap dalam Program Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat yang turut disertai kepimpinan UMNO Negeri Sembilan.

Turut hadir, calon BN N24 Tanjung Keramat, Jeffery Nor Mohamed, yang menegaskan komitmennya membanteras nepotisme dan kronisme di Putatan.

Beliau berjanji gerak kerja lebih agresif akan dilaksanakan sekiranya diberi mandat pada 29 November ini.

Sementara itu, ADUN Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir, menyatakan keyakinan bahawa sokongan pengundi muda di Tanjung Keramat kekal padu bersama BN.

Katanya, rekod perkhidmatan calon serta kesetiaan mereka terhadap parti menjadi faktor utama rakyat terus yakin.

“Kita percaya kemenangan di N24 Tanjung Keramat dan Putatan bukan mustahil. Rakyat menghargai calon yang tidak meninggalkan parti dan sentiasa berkhidmat,” ujarnya sambil menyeru pengundi mengekalkan kesinambungan perkhidmatan BN pada hari pengundian nanti.

BBerkaitan

Latest articles