Penentuan Kedudukan Presiden Terletak Pada Kuasa Mutlak Perwakilan UMNO – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Kuasa untuk tentukan kepimpinan terletak pada kuasa dan suara perwakilan seluruh negeri, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, seramai 160,000 perwakilan dalam UMNO mempunyai kuasa mutlak bagi menentukan pemilihan dalam parti tersebut bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

“Kuasa untuk tentukan kepimpinan terletak pada kuasa dan suara perwakilan seluruh negeri yang berjumlah hampir 160,000. Mereka ini tentukan sama ada kepimpinan sedia ada atau berubah untuk pastikanUMNO dan BN terus relevan dalam pentas politik, ini kuasa kutlak kuasa perwakilan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media sempena Amanat Tahun Baharu 2023 di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, hari ini.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ramlan Harun.

Selasa lalu, Setiausaha Agung UMNO berkata, isu pemilihan parti itu boleh dibawa ke meja mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang diadakan malam ini.

Bagaimanapun, Datuk Seri Ahmad Maslan enggan memperincikan sama ada pertandingan mengenai jawatan nombor satu dan nombor dua parti akan diputuskan dalam mesyuarat yang sama.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut memberi bayangan beliau sedia dicabar oleh mana-mana calon bagi kerusi panas itu.

Jelasnya, beliau pernah dicabar sebelum ini pada tahun 2018 dan ketika itu perwakilan memilih beliau untuk mengepalai UMNO.

“Dulu pun saya dicabar juga, dua orang cabar saya dan undi mereka masih belum sama dengan undi yang saya peroleh. Bukan riak, bukan sombong dan takabur mahupun ujub tapi itu terbukti pada 2018.

“Malah kombinasi undi kedua-duanya sangat kurang berbanding undi saya, tambahnya.

Pada pemilihan tahun 2018 lalu, Ahmad Zahid diangkat sebagai presiden selepas memperoleh 93 undi, menewaskan empat pesaingnya termasuk nama besar dalam UMNO iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin.

Khairy pula memperoleh 51 undi, manakala Tengku Razaleigh ataupun Ku Li mendapat 23 undi.

 

BBerkaitan

Latest articles