Penduduk Kampung Datuk Keramat Mahu Datuk Johari Kembali Jadi Wakil Rakyat

KERAMAT: “Jika BN dapat tawan kembali itu lebih elok” itu luahan salah seorang penduduk di Kampung Datuk Keramat yang mengharapkan calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Shahrill Ahmad, 65 tahun, dia mengharapkan Datuk Seri Johari Abdul Ghani calon dari BN mampu menawan semula parlimen itu.

Katanya, dia percaya Johari mampu membawa perubahan kepada penduduk di Kampung Keramat berdasarkan gerak kerja yang dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan, meskipun tewas pada PRU14 lalu.

Tambah Sharill, Johari tidak pernah jemu turun padang menyantuni penduduk di kawasan tersebut selain sering menghulurkan bantuan.

“Kalau Datuk Johari seratus peratus saya sokong. Saya harap dia menang. Dia selalu datang melawat penduduk dan kawasan ini walaupun tidak jadi wakil rakyat.

“Kalau ada apa-apa seperti kematian dia (Johari Abdul Ghani) akan datang, kalau tak dapat datang dia (Johari Abdul Ghani) akan hantar wakil.

“Saya sendiri pernah terima bantuan seperti kewangan daripada Datuk Johari,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahril yang menetap di Kampung Datuk Keramat lebih 60 tahun itu berkata, PRU14 lalu banyak janji yang tidak dikotakan oleh wakil rakyat yang dipilih.

“Kalau kerajaan dulu hanya banyak janji tapi mereka tak penuhkan. Janji tinggal janji. Itu yang kami tidak puas hati.

“Malah saya sendiri tak nampak wakil rakyat sebelum ini turun padang,” katanya.

PRU15 menyaksikan Johari mengetuai BN untuk merampas kembali Parlimen Titiwangsa selepas gagal mempertahankan kerusi panas itu pada PRU14 apabila tewas kepada calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Untuk rekod, Rina memperoleh 23,840 undi dan memenangi kerusi itu dengan majoriti 4139 undi pada PRU14, manakala Johari Ghani yang juga penyandang kerusi itu mendapat 19,701 undi.

Bagaimanapun, PRU15 ini Rina tidak lagi mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa apabila beliau dicalonkan di kerusi Sepang mewakili Perikatan Nasional (PN).

BBerkaitan

Latest articles