Pendirian Gerakan Dipersoal – Tolak Hudud Tapi Kerjasama Dengan PAS?

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan sebenarnya lebih menolak Islam, berbanding DAP yang sering dituduh sedemikian rupa.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Gerakan lebih terang-terangan menentang hukuman hudud dan pengajaran tulisan jawi di sekolah sebelum ini.

Namun yang peliknya, Gerakan hendak pula bekerjasama dengan PAS menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) walaupun mengetahui parti berkenaan mahu melaksanakan undang-undang berteraskan Islam di negara ini.

“(Gerakan) fail saman berhubung hudud dan mengkritik pengajaran tulisan Jawi. Namun, (kini) ia boleh bekerjasama dengan PAS,” kata Anwar pada ceramah di Penanti malam tadi.

Untuk rekod pada 2015, Gerakan memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan, mencabar keperlembagaan pindaan hudud yang diluluskan di DUN.

Pada 2019, parti itu menentang keputusan Kementerian Pendidikan bawah pentadbiran PH ketika itu supaya tulisan jawi diajar di sekolah vernakular.

Keadaan ini, menurut Anwar, adalah berbeza seperti tanggapan ramai pihak terhadap DAP.

Tambah Perdana Menteri, DAP tidak pernah menentang usaha kerajaan menerbitkan buku-buku Islam dengan dana awam dan memperkemas sistem perundangan syariah.

“Bagi saya, Loke Siew Fook (setiausaha agung DAP) 100 kali lebih baik berbanding Dominic (Lau) daripada Gerakan,” tambahnya.

Dalam ucapan di hadapan penyokong PH, Anwar turut menggesa rakyat Pulau Pinang mengundi semua calon PH dan Barisan Nasional (BN) kerana mereka disokong oleh kerajaan perpaduannya.

“Calon kita sama ada pakai baju PH atau BN, itu calon saya dan calon kerajaan yang saya pimpin,” katanya.

Beliau turut meminta pengundi Permatang Pauh mencetus perubahan kali ini dengan menyokong calon PH di Penanti (Roshidi Hussin); Permatang Pasir (Faiz Fadzil); dan Seberang Jaya (Johari Kassim).

PH kehilangan kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang dianggap kubu kuat keluarga Anwar, kepada PN pada PRU15 November lepas apabila anaknya, Nurul Izzah, tewas kepada calon PAS, Fawwaz Mat Jan.

BBerkaitan

Latest articles