KUALA LUMPUR: Selepas 20 hari prosiding sejak 4 Februari lalu, pihak pendakwaan hari ini menutup kes perbicaraan melibatkan ibu bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Zaim Ikhwan, yang didakwa mengabaikan anak lelaki mereka yang merupakan kanak-kanak autisme berusia enam tahun.
Penutupan kes diumumkan selepas saksi pendakwaan ke-28, iaitu pegawai penyiasat Asisten Supritendan Hafizee Ismail, selesai memberikan keterangannya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh.
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan menawarkan 23 lagi saksi kepada pihak pembelaan sekiranya mereka ingin memanggil mereka untuk memberi keterangan.
Sementara itu, peguam bela pasangan tertuduh, Haresh Mahadevan, menyatakan bahawa pihaknya telah mengenal pasti tujuh saksi yang akan dipanggil sekiranya mahkamah memutuskan wujudnya kes prima facie terhadap anak guamnya.
Hakim Dr Syahliza kemudian menetapkan agar hujahan bertulis difailkan oleh kedua-dua pihak selewat-lewatnya pada 23 Mei ini, manakala jawapan balas hendaklah dikemukakan pada 6 Jun 2025.
“Saya akan sampaikan keputusan pada 21 Julai depan. Sekiranya keputusan memihak kepada pihak pendakwaan, pembelaan perlu memulakan kes mereka pada hari yang sama,” katanya semasa prosiding.
Mahkamah turut menetapkan 22 dan 23 Julai serta lima hari tambahan bermula 4 Ogos sebagai tarikh sambungan perbicaraan jika kes diteruskan ke peringkat pembelaan.
Terdahulu, pada 13 Jun 2024, pasangan suami isteri berusia 29 tahun, Zaim Ikhwan dan Ismanira, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan anak mereka sehingga berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada 5 Disember 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
Mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, sehari selepas dilaporkan hilang.
Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa, dipercayai akibat cubaan mempertahankan diri.