Pendakwaan Tolak Permohonan Inspektor Sheila Datangkan Kegusaran Awam

KUALA LUMPUR: Permohonan representasi yang dikemukakan Sheila Sharon Steven Kumar atau Inspektor Sheila untuk membatalkan tuduhan menyebabkan kegusaran orang awam dengan membunyikan hon kereta dalam tempoh lama, ditolak pihak pendakwaan.

Pada prosiding sebutan kes itu hari ini bagi mengetahui status representasi, Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan memaklumkan kepada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pihaknya menolak representasi Sheila, 36, yang dikemukakan pada 20 Feb lalu.

BH melaporkan, peguam Anis Salihah Abdul Malek yang mewakili Sheila memohon tarikh perbicaraan baharu ditetapkan kerana peguam utama, M Manoharan yang mengendalikan kes berkenaan perlu menghadiri kes lain di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada tarikh sama.

Katanya, mahkamah sebelum ini menetapkan pada 10 dan 11 Jun ini bagi tarikh perbicaraan.

Majistret Illi Marisqa Khalizan kemudian menetapkan tarikh baharu bagi perbicaraan iaitu pada 1 dan 2 Julai ini.

Pada prosiding 21 Mac lalu, Manoharan mengesahkan kepada pemberita bahawa pihaknya menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), atas alasan pertuduhan dihadapi anak guamnya itu adalah remeh.

Pada 8 Nov tahun lalu, Sheila selaku orang kena saman (OKS), mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Dia didakwa melakukan mudarat awam dengan memarahi dan membunyikan hon kereta dengan panjang atau lama serta menjerit di tempat kejadian sehingga mendatangkan kegusaran awam, kepada Nuraihan Nadzifah Ibrahim, 28.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta Aras B1 sebuah pusat beli-belah dalam daerah Brickfields pada 5.26 petang 16 Jun lalu, mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum bawah Seksyen 290 KK.

Jika sabit kesalahan, Sheila yang mempunyai ijazah dalam bidang bahasa dan linguistik boleh dihukum denda sehingga RM400.

BBerkaitan

Latest articles