Pendakwaan: Tanpa Arahan Syed Saddiq, Kes Ini Tak Berlaku

PUTRAJAYA: Prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini menyaksikan pihak pendakwaan berhujah bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah mastermind di sebalik kehilangan dana RM1 juta milik Armada yang dikeluarkan pada Mac 2020.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mendakwa, bekas Menteri Belia dan Sukan itu sendiri mengarahkan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali, untuk mengeluarkan wang berkenaan melalui pesanan WhatsApp, satu fakta yang katanya tidak pernah dipertikaikan sepanjang perbicaraan.

Menurut beliau, tanpa arahan Syed Saddiq, Rafiq tidak akan melakukan pecah amanah jenayah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan turut menegaskan bahawa hubungan baik antara kedua-duanya menolak dakwaan wujudnya keterangan direka, selain mendakwa arahan pengeluaran dana dibuat kerana responden bimbang berlaku perubahan kepimpinan Armada serta siasatan SPRM yang boleh menyebabkan wang itu disita.

Pendakwaan berhujah bahawa keterangan Rafiq disokong saksi lain, termasuk bekas Penolong Setiausaha Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, namun gagal dipertimbangkan Mahkamah Rayuan.

Wan Shaharuddin turut mendakwa wujud unsur niat jahat berdasarkan tindak-tanduk Syed Saddiq dari sebelum pengeluaran RM1 juta itu sehingga selepas beliau tidak lagi memegang jawatan dalam Bersatu.

Pihak pendakwa turut memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram, serta mengembalikan dapatan bahawa beliau mengarahkan pengeluaran dana berkenaan bagi tujuan yang bukan untuk program Armada.

Syed Saddiq sebelum ini berdepan empat pertuduhan melibatkan pecah amanah RM1 juta, penyalahgunaan RM120,000 dana parti dan dua transaksi pengubahan wang haram masing-masing RM50,000 pada 2018.

Prosiding rayuan itu didengar panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais, dan akan bersambung.

BBerkaitan

Latest articles