Pendakwa Raya Kata Ada ‘Niat Jahat’ Tindakan Syed Saddiq Dalam Pengeluaran RM1 Juta

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menunjukkan niat jahat apabila didakwa bersubahat dalam pengeluaran RM1 juta daripada akaun bank Pemuda Bersatu.

Perkara itu dibangkitkan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dengan berkata ia berdasarkan tindakan Syed Saddiq selepas berlakunya ‘Langkah Sheraton’ pada awal 2020, yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terkubur.

Menjelaskan lebih lanjut, Syed Saddiq memberitahu beberapa anggota Pemuda Bersatu bahawa dana dalam akaun tersebut dikumpul hasil usahanya sebagai ketua Armada.

Beliau juga mengakui berlaku kekacauan dalam sayap Pemuda Bersatu ketika itu serta perubahan kepimpinan dalam parti.

Wan Shaharuddin mendakwa Syed Saddiq mengarahkan penolong bendahari Pemuda Bersatu ketika itu, Rafiq Hakim Razali, untuk mengeluarkan RM1 juta selepas ‘Langkah Sheraton’.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa dua saksi utama, Rafiq dan Ahmad Redzuan Shafi, diberi imuniti bawah Seksyen 52 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Kenyataan Syed Saddiq tidak dibuktikan dan hanya kekal sebagai spekulasi serta andaian,” katanya di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Ahmad Zaidi Ibrahim, bersama Azman Abdullah dan Noorin Badaruddin.

Kemudian kerajaan baru yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama beberapa Ahli Parlimen lain membentuk kerajaan baharu, sebagai menggantikan kerajaan PH, menyaksikan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020.

Tidak lama kemudian Bersatu memecat pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad, dan beberapa Ahli Parlimen lain, termasuk Syed Saddiq yang enggan menyokong Muhyiddin.

Syed Saddiq kemudiannya menubuhkan parti MUDA dan kini sedang dalam proses rayuan terhadap sabitan kesnya.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi mendapati Syed Saddiq bersalah atas pertuduhan bersubahat dalam jenayah pecah amanah membabitkan RM1 juta serta penyelewengan dana RM120,000.

Beliau dijatuhi hukuman penjara lima tahun secara keseluruhan, dua sebatan, serta denda bagi kesalahan pengubahan wang haram. Walau bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Perbicaraan bersambung pada 17 April selepas pendakwa raya memohon penangguhan atas sebab kesihatan.

BBerkaitan

Latest articles