Pendaftaran Skim INSAN Hanya Selepas Dapat Kebenaran, MB Nafi Salah Guna Data Rakyat

KUALA LUMPUR: Tidak timbul isu salah guna dan kebocoran data rakyat untuk pendaftaran Skim Perlindungan Insurans Am (INSAN) seperti yang tular sekarang, tegas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Malah beliau juga menafikan kerajaan negeri mendapatkan data peribadi itu daripada syarikat insurans.

“Kita bekerjasama dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk mendapatkan maklumat data awam yang boleh dibeli bagi tujuan pra pendaftaran INSAN kepada mana-mana rakyat negeri ini yang layak.

“Bagi pendaftaran INSAN pula kita tapis untuk mereka yang beri kebenaran. Kepada yang tidak beri kebenaran kita tidak daftar,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan portfolio barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, hari ini.

Amirudin berkata demikian mengulas laporan media berkenaan berlakunya kebocoran data peribadi rakyat negeri itu yang digunakan untuk mendaftar Skim INSAN.

Menjelaskan lebih lanjut, Amirudin memaklumkan pengesahan nombor kad pengenalan dan swafoto gambar pemilik nama yang diterima skim itu diperlukan sebagai syarat kebenaran pendaftaran itu.

“Mereka yang tidak memenuhi syarat itu, tidak akan dimasukkan dalam senarai penerima dan dianggap menolak daripada menerima Skim INSAN,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri akan memantapkan lagi kawalan jika terdapat pelanggaran pada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

BBerkaitan

Latest articles