PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuka pendaftaran murid Tahun 1 bagi Kalendar Akademik 2027 secara dalam talian bermula 15 Februari hingga 31 Mac ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, proses pendaftaran boleh dilakukan menerusi Sistem Bersepadu Kementerian Pendidikan (MOEIS) melalui portal https://idme.moe.gov.my.
Menurut beliau, pendaftaran bagi kanak-kanak berusia enam tahun (5+) yang akan memasuki Tahun 1 pada 2027 adalah bersifat sukarela dan tidak melibatkan sebarang ujian saringan.
“Inisiatif ini merupakan langkah progresif Kerajaan MADANI untuk menggalakkan kemasukan awal kanak-kanak ke alam persekolahan, sekali gus menyokong perkembangan serta kesejahteraan mereka agar tidak tercicir daripada sistem pendidikan,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Beliau menjelaskan, pendaftaran dibuka kepada kanak-kanak warganegara Malaysia bagi kohort enam tahun (5+) yang lahir antara 2 Januari hingga 31 Disember 2021.
Sementara itu, pendaftaran bagi kohort tujuh tahun (6+) pula melibatkan kanak-kanak warganegara Malaysia yang lahir dari 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021.
Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan untuk mendaftar akaun dalam Sistem Pengurusan Identiti (idMe) serta memastikan maklumat peribadi dikemas kini sebelum mengemukakan permohonan melalui MOEIS dalam tempoh ditetapkan.
Maklumat lanjut mengenai pendaftaran murid Tahun 1 boleh diperoleh menerusi portal rasmi KPM atau dengan menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhampiran.










