KUALA LUMPUR: Pendaftaran keahlian bagi Pertubuhan bukan kerajaan, Muafakat Nasional (MN) kini mula dibuka.
Setiausaha Kerja MN, Datuk Mohd. Irwan Rizal berkata, pendaftaran keahlian itu terbuka kepada semua rakyat dari pelbagai kaum dan agama yang berumur 18 tahun ke atas selaras dengan matlamat penubuhannya.
“Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi muafakatnasional.org.my.
“Bagi mereka yang berumur 18 tahun ke bawah, perlu mendapatkan surat kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, selain laman sesawang rasmi, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai MN dari media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok serta talian 011-72751075.
Jelas beliau MN ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan bukannya parti politik.
Pada Khamis lalu, Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa telah mengumumkan pengaktifan MN sebagai platform yang menggerakkan agenda perpaduan dan penyatuan serta memantapkan pembinaan negara dan bangsa.
Hari ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin mengumumkan secara terbuka telah mendaftar keahlian dengan MN.