Pencuri Bawa Lari Laci Kaunter Berisi RM3,000

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki sedang dikesan selepas bertindak mencuri dan melarikan laci kaunter yang mengandungi wang tunai RM3,000 di sebuah premis di Pekan Kundasang, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, kejadian itu dilaporkan pada jam 7.50 malam.

Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, seorang lelaki tidak dikenali memasuki premis dengan berpura-pura membeli barang.

“Ketika pengadu yang juga pemilik premis ke bahagian belakang, suspek bertindak mencuri laci kaunter warna putih yang mengandungi wang sebanyak tunai RM3,000.

“Suspek kemudian melarikan diri melalui pintu hadapan kedai berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek lelaki dengan memakai topi, baju-T dan seluar panjang hitam, selain menutup mukanya dengan kain warna biru bagi mengelak pengecaman.

“Polis mengambil beberapa tindakan segera termasuk merekodkan percakapan pengadu di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah melakukan siasatan forensik di lokasi kejadian.

“Selain itu, cap jari suspek dihantar ke Bahagian D2 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk analisis,” katanya.

Mursalin berkata, operasi bagi mengesan dan menahan suspek sedang giat dijalankan oleh pasukan penyiasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau di talian 088-875222 atau melaporkan ke balai polis berhampiran,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles