KUALA LUMPUR: Seorang pencuci kereta dihukum penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Alor Setar selepas mengaku bersalah memeras ugut seorang wanita dengan mengancam untuk menyebarkan video bogelnya.
Tertuduh, Muhammad Haiqdil Abdul Rani, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengugut seorang wanita berusia 30 tahun dengan menyatakan akan menyebarkan video bogelnya, sehingga menyebabkan mangsa memindahkan wang berjumlah RM2,510 kerana bimbang dan takut.
Kesalahan itu dilakukan pada 7 April lalu, sekitar jam 10.30 malam di Kampung Titi Haji Idris, Tajar, Kota Setar.
Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya N Jayasri memohon agar mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pencegahan kerana perbuatan tertuduh telah menjejaskan kesejahteraan mental mangsa yang diperas ugut secara berulang kali.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar hukuman diringankan kerana hanya bekerja sebagai pencuci kereta dengan pendapatan harian RM30 dan perlu menyara ibu serta enam adik-beradik lain.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tujuh bulan itu bermula dari tarikh tertuduh ditahan serta mengarahkan telefon bimbit yang digunakan dalam perbuatan itu dilupuskan.
Tertuduh kemudiannya dibawa ke Penjara Pokok Sena untuk menjalani hukuman.