Pencipta Kandungan Diberkas Selepas Buat Panggilan Video Tunjuk Kemaluan

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan pihaknya telah menerima laporan daripada seorang wanita berhubung tindakan seorang lelaki yang juga kenalannya yang berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluannya menerusi panggilan video.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, suspek lelaki tempatan yang bekerja sebagai pencipta kandungan dan menjalankan perniagaan dalam talian itu ditahan polis pada 17 Mei lalu.

Terdahulu mangsa yang juga seorang suri rumah membuat laporan polis pada pukul 4.50 petang pada hari kejadian.

“Siasatan mendapati pengadu berusia 24 tahun semasa berada di rumahnya di Taman Melewar itu telah menerima panggilan video daripada suspek.

“Hasil siasatan awal, polis mendapati pengadu telah berkenalan dengan suspek sejak awal bulan Mei tahun ini melalui aplikasi Instagram.

“Suspek telah membuat panggilan video kepada pengadu dan telah menunjukkan alat sulitnya dan bercakap lucah dengan pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas aduan mangsa, Mohamad Lazim berkata, sepasukan polis Wangsa Maju telah membuat tangkapan ke atas suspek lelaki tempatan itu sekitar pukul 2.25 petang pada 29 Mei lalu.

Suspek berusia 27 tahun itu direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Bagaimanapun suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam keterangan membantu siasatan lanjut,” ujarnya.

Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles