KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka dasar dan perundangan menyeluruh di peringkat nasional bagi menangani pencemaran plastik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menguruskan sisa plastik dengan lebih lestari dan sistematik.
“Sebelum ini, isu pencemaran plastik banyak bergantung kepada inisiatif kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tanpa dasar nasional yang menyeluruh.
“Di bawah RMK-13, kita sedang meneliti kemungkinan mewujudkan perundangan khusus di peringkat nasional bagi mengatasi masalah ini. Undang-undang sedia ada di peringkat PBT sahaja tidak mencukupi. Kita perlukan perundangan yang lebih menyeluruh,” katanya selepas merasmikan Kapal Pengumpulan Sisa ‘Mobula 8’ anjuran Marine Research Foundation (MRF) di Pulau Indah, hari ini.
Menurut Nik Nazmi, pencemaran plastik di Malaysia berada pada tahap serius, menjadikan negara ini antara lima negara dengan kadar pencemaran plastik tertinggi di dunia.
Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, tetapi juga menyumbang kepada masalah kesihatan dan banjir kilat.
Sehubungan itu, isu pencemaran plastik juga akan menjadi topik penting semasa Malaysia memegang Kepengerusian ASEAN 2025.
“Sejak China mengetatkan peraturan dan menghentikan pembelian hampir semua sisa plastik pada Januari 2018, Malaysia, Indonesia, dan Filipina berdepan masalah kemasukan sisa plastik dari luar negara.
“Justeru, kita akan membincangkan isu ini di peringkat ASEAN kerana ia bukan hanya masalah Malaysia, tetapi juga rantau ini secara keseluruhan,” katanya.
Dalam majlis yang sama, Nik Nazmi mengalu-alukan sumbangan kapal pengumpul sisa plastik, Mobula 8, daripada badan bukan kerajaan (NGO) Switzerland, The SeaCleaners, kepada MRF sebagai langkah mengurangkan kesan pencemaran plastik.
Mobula 8 akan ditempatkan di Kota Kinabalu, Sabah, sebagai sebahagian daripada usaha membersihkan perairan negara. Nik Nazmi turut berharap lebih banyak syarikat korporat dan NGO tampil menyokong inisiatif menangani pencemaran sisa plastik di Malaysia.