Pencalonan Sebagai PM Buktikan Tiada Puak Dalam UMNO – Ismail Sabri

PUTRAJAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menepis dakwaan parti itu mempunyai beberapa kem setelah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan sebulat suara memilihnya sebagai calon Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perdana Menteri turut berkata, keputusan itu semalam menunjukkan UMNO mencapai kesepakatan, sekaligus menonjolkan ia sebuah parti yang kuat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada presiden, timbalan presiden, Top Five dan semua ahli MKT UMNO kerana secara sebulat suara menyokong saya sebagai calon Perdana Menteri lepas PRU-15 jika BN memenangi pilihan raya.

“Ini menunjukkan bahawa UMNO terus bersatu walaupun macam-macam pihak menyatakan ada kem dan sebagainya dalam UMNO tetapi keputusan semalam jelas menunjukkan bahawa apa yang diperkatakan masyarakat adalah tidak benar.

“Ini kerana UMNO terus kukuh, solidaritinya kuat, jadi tiada kem pun di dalam UMNO,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mesyuarat MKT UMNO pada semalam telah sebulat suara menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri sekiranya BN memenangi PRU-15.

Mesyuarat MKT UMNO dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi rata-ratanya mahu Ismail Sabri meneruskan khidmatnya dalam mendepani dan memenangi PRU-15.

Diminta mengulas perjanjian persefahaman dengan pembangkang, Perdana Menteri akur kepada keputusan UMNO untuk tidak meneruskannya sehingga 31 Julai ini.

“Semalam keputusan sudah dibuat iaitu sehingga 31 Julai ini (kerjasama) kita akan tunggu sehingga tarikh itu. Setakat semalam MKT UMNO mengatakan bahawa tidak perlu sambung MoU, itu keputusan setakat hari ini.

“Apa-apa pun kita tunggu sehingga atau selepas 31 Julai ini,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, sebarang perubahan akan dibawa kepada MKT UMNO sebelum keputusan muktamad diambil kerajaan pimpinannya.

“Sepatutnya, kita akan tengok keputusan MKT itu biasanya perlu diikuti. Kalau berlaku apa-apa atau perubahan, saya perlu bawa semula kepada MT UMNO semula, iaitu keputusan MKT.

“Saya sebagai Naib Presiden UMNO tentu sahaja tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh MT UMNO. Keputusan itu sehingga 31 Julai ini, sekarang masih lagi April, kita tunggulah, kalau tak ada apa-apa keputusan itu kita akan laksanakan.

“Kalau ada apa-apa perubahan, MKT akan bincang semula,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles