Pencalonan Menteri, Bekas Menteri Strategi BN Menang PRN

KUALA LUMPUR: Beberapa nama menteri dan bekas menteri yang dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebenarnya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN), termasuk Pakatan Harapan (PH) yang merupakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

Demikian menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, sambil menafikan strategi itu menunjukkan BN seolah-olah ketandusan calon pemimpin.

Menerusi senarai calon BN yang diumumkan malam tadi, Jalaluddin bakal bertanding di DUN Pertang, manakala Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mempertahankan DUN Rantau.

Jalaluddin, yang juga Ahli Parlimen Jelebu menegaskan UMNO-BN Negeri Sembilan membariskan calon boleh menang, malah diyakini boleh menewaskan pihak lawan di kesemua 17 kerusi yang dipertandingkan.

“Kemungkinan pendekatan kita lakukan ini akan bagi markah lebih kepada BN Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon BN PRN enam negeri di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, malam tadi.

Sementara itu, Jalaluddin memberi jaminan gabungan BN-PH dalam menghadapi pilihan raya negeri mampu menawan hati rakyat, yang sebelum ini sudah menikmati pembangunan dan kemajuan.

Sehubungan itu, ‘kisah lalu’ sebelum kedua-dua pihak politik ini bergabung perlu dijadikam iktibar, dan kini adalah masa untuk pandang ke depan dan mengutamakan rakyat dan negeri.

“Dulu apabila kita berbalah kesannya amat ketara. Dan rakyat dah terima apakah khidmat sumbangan dibuat BN bertahun-tahun sebagai kerajaan di Negeri Sembilan dan mereka juga dah merasai apa yang kerajaan PH bagi semasa tempoh lima tahun lepas.

“Maka kedua-dua kemahiran dan kemampuan ini serta dasar dibawa PH dan BN digabungkan menjadi satu kerajaan perpaduan, saya yakin ia akan memberi kekuatan luar biasa selepas 12 Ogos nanti,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles