KETEREH: Penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa hari ini berkongsi kata-kata semangat kepada calon baru di kerusi tersebut, Marzuani Ardilla Ariffin.
Menulis di Facebooknya, Annuar memberitahu Ketua Puteri UMNO Ketereh itu mahu berjumpanya memandangkan hari ini merupakan hari mengisi borang pencalonan.
“Pagi ini, anakanda saya MARZUANI ARDILLA ARIFFIN, Ketua Puteri UMNO Ketereh tanya saya lagi… Apa harus dia buat, kerana hari ini hari mengisi borang pencalonan.
“Jawapan saya konsisten… Teruskanlah seperti biasa. Beliau nak jumpa saya pagi ini,saya katakan “sempurnakan semua urusan dulu,” katanya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu juga berkata, Marzuani turut menghubungi beliau ketika dipanggil ke majlis pengumuman calon di WTCKL kelmarin.
“Beliau minta keputusan saya. Jawapan saya sama juga..Pergilah dan terimalah. Alhamdulillah Ketereh tenang,” katanya.
Bukan itu sahaja, Annuar yang menjadi Ahli Parlimen Ketereh sejak 2008 juga berpesan kepada semua petugas pilihan raya di Parlimen Ketereh tidak menggelabah dan tidak menutup bilik gerakan.
Malah beliau menitipkan pesan supaya jentera pilihan raya tidak patah semangat dan mengikuti perkembangan dengan sabar serta tabah.
“Kita ikuti perkembangan dgn tenang. Jangan lebarkan perpecahan terutama kalangan rakan seperjuangan dan umat Islam.
“Ada kala kita disalahertikan, ada kala kita difitnah dengan fitnah yg memilukan,” katanya.