KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa penangguhan pelaksanaan tarif kepada kebanyakan negara bagi tempoh 90 hari memberikan sedikit kelegaan kepada Malaysia.
“Malaysia terbabit (dalam penangguhan), melegakan sebentar,” ujar Anwar ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri yang dianjurkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), hari ini.
Malaysia merupakan antara 75 negara yang mendapat kelonggaran daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dengan penangguhan pelaksanaan tarif selama 90 hari.
Keputusan tersebut diumumkan dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas kadar tarif baharu dilaksanakan oleh pentadbiran Trump yang sebelum ini menyaksikan penurunan mendadak pasaran saham global.
Pengumuman penangguhan tarif ini turut dilihat sebagai langkah untuk menstabilkan keadaan ekonomi global, meskipun ia tidak terlaksana untuk China.
Sebaliknya, Amerika Syarikat dilaporkan terus meningkatkan tekanan terhadap negara tersebut dalam usaha menangani isu perdagangan antarabangsa.