Penangguhan Pemilihan Tiada Kaitan dengan Cuti Rafizi

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Dr. Zaliha Mustafa menolak spekulasi bahawa penangguhan pencalonan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu ada kaitan dengan cuti Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Bercakap kepada media selepas satu majlis hari ini, Zaliha menegaskan bahawa cuti Rafizi adalah urusan peribadi dan langsung tidak mempengaruhi keputusan jawatankuasa pemilihan.

“Sudah tentu tiada kaitan dengan Rafizi Ramli. Sebagaimana Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata, cuti itu adalah biasa,” ujarnya ringkas.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan bahawa perubahan tarikh pencalonan MPP yang ditunda dari 3 dan 4 Mei kepada 8 dan 9 Mei, kononnya dikaitkan dengan ketiadaan Rafizi, yang kini sedang bercuti sehingga hujung bulan ini.

Zaliha menjelaskan bahawa keputusan penangguhan adalah konsensus jawatankuasa dan telah diterima baik oleh semua pihak dalam parti.

Terdahulu pemilihan PKR kali ini berlangsung dengan suasana hangat apabila proses pemilihan cabang parti diselubungi dakwaan penyelewengan, terutama melibatkan penggunaan sistem undian berasaskan teknologi blockchain.

Beberapa nama besar yang dilihat sekutu Rafizi turut tewas dalam pemilihan tersebut antaranya Nik Nazmi Nik Ahmad, Akmal Nasir, Adam Adli, dan K Saraswathy.

Mengulas lanjut, Zaliha turut mendedahkan bahawa pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pasukan juruaudit bebas bagi menyemak ketelusan proses pemilihan.

“Kita sebenarnya telah bertemu mereka sepanjang dua hingga tiga hari lepas untuk melihat semua proses itu. Kita telah serah apa sahaja yang mereka mahu. Insya-Allah dalam beberapa hari kita akan mendapat laporan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles