KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata pihaknya sudah membuat pemaklumkan berkenaan penamatan lebih 900 pegawai kontraknya pada 1 Jan depan, sejak awal tahun ini lagi.
Dalam satu kenyataan media, LHDN berkata pemakluman itu dilakukan awal supaya kesemua 42 pegawai kontrak bulanan dan 998 pegawai kontrak harian dapat mencari pekerjaan baharu.
“Secara dasarnya, LHDN menggajikan pegawai-pegawai kontrak ini bagi tujuan pelaksanaan tugasan atau fungsi yang perlu diselesaikan dalam suatu tempoh yang spesifik, iaitu berasaskan projek,” katanya.
LHDN juga memaklumkan badan itu sedang menjalani proses transformasi iaitu tugas dan fungsi mereka telah melalui proses automasi.
“Selari dengan usaha digitalisasi ini, LHDN telah memperkemaskan struktur organisasinya yang mana turut melibatkan penstrukturan sumber manusia. Pelaksanaan ini turut melibatkan isu mengkaji semula keperluan untuk menggaji pegawai kontrak bulanan dan harian di LHDN,” katanya.
Terdahulu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) merayu pengurusan LHDN tidak membuang 958 pekerja yang didakwa akan diberhentikan menjelang 1 Jan 2023.
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor mendakwa pihaknya terkejut dengan tindakan pengurusan LHDN yang didakwa tidak memikirkan nasib pekerja bawahan malah tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan mereka yang terlibat.
Sementara itu, LHDN berkata pihaknya mengambil berat terhadap situasi dialami pegawai kontrak dengan mendapatkan pekerjaan melalui penganjuran program bersama dengan syarikat ejen cukai.
Selain itu, LHDN turut membantu mereka melalui MYFutureJobs dilaksanakan Perkeso yang menyaksikan dalam tahun 2022, seramai 59 pegawai kontrak berjaya mendapat pekerjaan lain.
“Justeru, tindakan LHDN tidak meneruskan perkhidmatan pegawai kontrak ini tidak didorong oleh kepentingan peribadi mana-mana pihak tetapi bertunjangkan kepada hasrat meningkatkan kecekapan operasi agensi ini selain memastikan sumber kewangan negara digunakan secara optimum bagi mengelakkan sebarang pembaziran,” katanya.