TELUK INTAN: Pemuda UMNO Teluk Intan bertegas menolak desakan DAP agar kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sambil menegaskan bahawa tuntutan itu bercanggah dengan asas perundangan dan falsafah pendidikan negara.
Ketua Pemudanya, Zulfadzli Hisham Abu Zahni menegaskan, pengiktirafan UEC jelas tidak selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tunjang utama sistem pendidikan negara.
“Ini diperkukuh melalui AktaPendidikan 1996 (Akta 550), khususnya Seksyen 17(1) yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama institusi dalam sistem pendidikan kebangsaan.
“Pemuda UMNO Teluk Intan turut berpandangan bahawa tuntutan tersebut bercanggah dengan prinsip Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menekankan pembentukan insan seimbang, berakhlak mulia serta mampu menyumbang kepada keharmonian masyarakat Malaysia yang bersatu padu.
“Kurikulum UEC yang berorientasikan sistem luar tidak memenuhi kerangka penyepaduan nasional yang dihasratkan melalui FPK,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam masa yang sama, Pemuda UMNO Teluk Intan memberi amaran bahawa mengiktiraf peperiksaan luar kerangka kebangsaan berisiko melahirkan dualisme pendidikan dan sekali gus melemahkan usaha membina identiti nasional yang kukuh.
“Sekolah kebangsaan mesti kekal sebagai platform penyatuan generasi muda. Sebarang sistem yang tidak berpaksikan kurikulum nasional tidak wajar disetarakan,” tegas kenyataan itu.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO Teluk Intan menggesa kerajaan untuk kekal berpegang teguh kepada dasar sedia ada, antaranya:
1. Mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan berlandaskan Perlembagaan dan Akta Pendidikan.
2. Tidak tunduk kepada tekanan politik dalam isu pengiktirafan UEC.
3. Memperkukuh peranan sekolah kebangsaan sebagai teras perpaduan negara.
Zulfadzli turut menegaskan komitmen pergerakan itu untuk terus mempertahankan kedaulatan Perlembagaan serta keutuhan sistem pendidikan negara demi masa depan generasi akan datang.










