SHAH ALAM, Pemuda UMNO Negeri Selangor hari ini menyuarakan bantahan keras terhadap kenyataan dan hantaran media sosial yang didakwa bersifat biadab serta sinis oleh Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, berhubung isu perundangan melibatkan Najib Razak.
Menurut Badan Perhubungan Pemuda UMNO Negeri Selangor, tindakan berkenaan disifatkan tidak beradab, tidak bertanggungjawab serta mencemarkan keharmonian politik, khususnya ketika proses kehakiman masih berjalan dan tertakluk kepada ruang perundangan sedia ada.
Pemuda UMNO Selangor menegaskan bahawa sebagai seorang Ahli Parlimen dan pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan, kenyataan sedemikian melanggar etika kepimpinan dan mencetuskan provokasi politik yang tidak sihat, selain bertentangan dengan semangat perpaduan yang sering dilaungkan.
Dalam kenyataan sama, Pemuda UMNO Selangor menyenaraikan beberapa implikasi daripada hantaran tersebut, antaranya mencerminkan ketidakmatangan politik, penghormatan terpilih terhadap proses mahkamah, mencetuskan kemarahan akar umbi UMNO serta mengeruhkan hubungan politik antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO Selangor menuntut agar Yeo Bee Yin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Najib Razak, ahli keluarga beliau serta seluruh ahli dan penyokong UMNO, melalui medium awam yang sama digunakan untuk menyebarkan kenyataan berkenaan.
Mereka turut menggesa agar semua hantaran, komen atau kandungan media sosial yang didakwa menghina, menyindir keputusan mahkamah serta mencetuskan ketegangan politik diturunkan dengan segera.
Pemuda UMNO Selangor menegaskan parti itu tidak akan berdiam diri terhadap sebarang bentuk penghinaan atau provokasi yang merendahkan maruah pimpinan dan ahli UMNO, dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan susulan termasuk desakan awam, gerakan politik berperingkat serta tindakan yang dibenarkan undang-undang sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi.










