KUALA LUMPUR: Kesediaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meneliti kemungkinan kerjasama dengan Pas disifatkan sebagai keputusan berjiwa besar demi kelangsungan dan penyatuan orang Melayu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh berkata, pihaknya menyambut baik pendirian positif Ahmad Zahid terhadap usul yang dibangkitkan dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO baru-baru ini, khususnya melibatkan kerjasama antara UMNO dan Pas serta penolakan sebarang langkah ‘tebuk atap’ terhadap kerajaan sedia ada.
Menurutnya, persamaan pandangan antara kepimpinan tertinggi dan akar umbi itu membuka ruang kepada parti untuk merangka bentuk kerjasama yang lebih tersusun tanpa menjejaskan kestabilan politik negara.
Beliau turut menegaskan, usaha tersebut dilihat sebagai langkah awal ke arah penyatuan ummah, selari aspirasi Pemuda UMNO yang mahu parti kembali memainkan peranan sebagai jambatan perpaduan orang Melayu menjelang pilihan raya umum akan datang.










