Pemuda UMNO Protes Jika Trump Tetap Dijemput Ke ASEAN Summit, Desak Bebaskan Aktivis GSF

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mendesak kerajaan membatalkan jemputan rasmi kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini, selagi aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis tidak dibebaskan.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, menegaskan Pemuda UMNO di seluruh negara akan turun mengadakan bantahan besar-besaran jika Trump tetap diterima di Kuala Lumpur.

“Biar kita berdepan dengan Trump secara terus! Sakiti mereka sama dengan sakiti rakyat Malaysia! Bebaskan aktivis Global Sumud Flotilla!” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Setakat ini, 17 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF dilaporkan hilang komunikasi dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas tentera Israel di perairan Gaza, pagi tadi.

Antara mereka ialah penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga), Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma), serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Turut disenaraikan ialah penyanyi Heliza Helmi bersama adiknya Nur Hazwani Afiqah (kapal Hio), selain Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu).

Secara keseluruhan, 23 rakyat Malaysia terlibat dalam konvoi flotilla tersebut.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Trump sudah menyatakan persetujuan hadir ke sidang kemuncak berprestij itu yang dijadualkan berlangsung di ibu negara hujung bulan ini.

BBerkaitan

Latest articles