Pemuda UMNO Dibenarkan ‘Memberontak’ Demi Rakyat

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi isyarat jelas bahawa Pemuda UMNO tidak perlu lembut, tidak perlu takut, dan tidak perlu minta maaf kerana bersuara lantang.

Beliau secara terbuka memberi “lampu hijau” kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan seluruh jentera Pemuda untuk terus berani, membising dan memberontak demi rakyat.

“Ada yang kata Pemuda biadab. Bagi saya tidak. Tugas Pemuda memang jadi pembingit, jadi pemberontak, jadi loceng kecemasan. Akmal, Pemuda, teruskan keberanian kamu,” katanya ketika merasmikan mesyuarat serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Mohamad menegaskan, Pemuda mesti berperanan sebagai pembangkang konstruktif dari dalam kerajaan.

Jika dasar kerajaan menekan rakyat atau merugikan orang Melayu, Pemudalah yang perlu bangkit paling awal.

“Rampas naratif hero rakyat daripada pembangkang. Buktikan Pemuda UMNO lebih efektif, bukan sekadar main sentimen,” tegasnya.

Beliau turut memberi arahan operasi kepada sayap lain.

Manakala Wanita UMNO diamanahkan sebagai ‘Ejen Ekonomi Rumah Tangga’ iaitu memantau dapur rakyat, memastikan bantuan sampai dan harga barang terkawal.

“Biar orang kata parti lain sibuk berpolitik. Bila beras habis, Wanita UMNO mesti sampai dulu,” katanya.

Puteri UMNO pula diarahkan menawan medan digital sebagai ‘Jentera Perang Maya’, dengan fokus kepada TikTok, media sosial dan isu anak muda seperti gaji bermaruah serta kesihatan mental.

“Medan perang kamu di skrin telefon. Ubah persepsi anak muda. Jadikan Undi18 nampak UMNO sebagai kawan yang faham mereka,” ujarnya.

Mengakhiri amanat, Mohamad mengingatkan seluruh jentera supaya bersiap dari sekarang menuju PRU16 sebagai Barisan Nasional.

“Kita tak mahu menang atas ihsan orang. Kita mahu menang kerana rakyat percaya UMNO paling berpengalaman urus negara. Asah pedang, rapatkan saf, kita bersiap untuk kembali jadi induk semula di tanah air ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles