Pemuda Terbabit Kematian Rocky Bakal Didakwa Pada Khamis

KLANG: Seorang lelaki berusia 24 tahun yang dikaitkan dengan kematian anjing bernama Rocky ketika operasi menangkap anjing liar di Pelabuhan Klang, bulan lalu, dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen pada Khamis ini.

Peguam yang mewakili Shah Hizam, Rafique Rashid Ali dan Mahmud Abdul Jumaat, mengesahkan anak guam mereka telah menerima saman daripada pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Menurut Rafique, Shah akan hadir di mahkamah pada jam 9 pagi, 20 Ogos ini.

“Ya, saya sahkan Shah telah menerima saman yang diserahkan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Kami akan hadir pada 9 pagi pada 20 Ogos ini,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Bagaimanapun, butiran mengenai seksyen undang-undang serta akta yang bakal digunakan terhadap Shah masih belum diketahui.

Perkara itu dijangka diketahui apabila pertuduhan dikemukakan dan dibacakan di hadapan mahkamah kelak.

Insiden membabitkan Rocky berlaku ketika operasi penguatkuasaan di Pelabuhan Klang pada 29 Julai lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sebelum ini dilaporkan mempertahankan tindakan pegawainya, selain mendakwa pemilik anjing tersebut bertindak agresif ketika operasi dijalankan.

Rakaman video kejadian yang berakhir dengan kematian Rocky kemudiannya tular di media sosial dan mencetuskan perhatian ramai.

Susulan penularan video berkenaan, Shah bersama keluarganya turut dilaporkan berdepan gangguan siber, termasuk menerima ugutan bunuh.

BBerkaitan

Latest articles