KUALA LUMPUR: Pemuda PKR hari ini membuat dua laporan polis berhubung video tular di TikTok yang memaparkan seorang lelaki mengeluarkan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru.
Ketua Penerangan Pemuda PKR Wilayah Persekutuan, Mohammad Rais Hamda, berkata laporan dibuat secara berasingan oleh Pemuda PKR Kuala Lumpur dan Pemuda PKR Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sekitar jam 8 malam.
“Anak muda mengecam keras ugutan sebegini kerana ia boleh menggugat keharmonian dan kestabilan negara yang kita bina sejak sekian lama. Kami berharap polis segera membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku,” katanya selepas membuat laporan.
Video berkenaan menampilkan seorang lelaki yang didakwa pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sebelum mengeluarkan kata-kata berunsur ancaman terhadap Perdana Menteri.
Insiden itu mengundang kecaman luas, khususnya kerana ia berlaku ketika suasana tegang operasi pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nuzulan Mohd Din, mengesahkan menerima laporan berhubung perkara tersebut.
Beliau berkata, kes kini diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman untuk siasatan lanjut.