Pemuda PAS Tolak Pemimpin Makan Rasuah, Kaki Perempuan, Minum Arak

Seseorang calon wakil rakyat boleh menang sekiranya mereka mempunyai rekod moral yang baik dan tidak terpalit dengan sebarang kontroversi integriti, demikian tegas Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor (DPPNS)

Ketuanya, Hanafi Zulkapli berkata perkara itu penting bagi mengembalikan kesejahteraan negara dengan memastikan pemimpin dalam kalangan mereka yang berakhlak dan mempunyai kemahiran selayaknya.

“Anak muda menolak sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang mempunyai masalah moral seperti minum arak, kaki perempuan, rasuah dan apa sahaja yang mencalarkan integriti sebagai seorang pemimpin.

“Amat memalukan jika masalah sebegini masih lagi mahu menjadi pemimpin Malaysia yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hanafi turut menegaskan kriteria sebegitu amat penting dalam usaha memperbaiki politik tanah air.

“Mana-mana individu yang terpalit dengan kes salah laku dan mempunyai masalah moral adalah tidak layak diangkat sebagai pemimpin negara kerana akan memberikan impak negatif pada imej dan urus tadbir yang bakal dikendalikan,” katanya.

Masa depan negara dan anak muda, katanya, tidak boleh diperjudikan dengan lantikan calon kepimpinan yang mempunyai masalah moral dan integriti.

“Sekalipun negara ini mengamalkan konsep demokrasi namun kita terikat dengan Rukun Negara yang meletakkan Kepercayaan kepada Tuhan memberi signifikan bahawa nilai jati diri sebagai seorang mempunyai keperibadian yang baik.

“Rakyat akan mengikut rentak kehidupan pemimpin mereka. Jika rosak seseorang pemimpin tersebut, maka akan rosaklah rakyat yang berada di bawah tanggungjawab pentadbirannya.

“Beringatlah wahai semua pemimpin! Negara ini bukan milik ahli politik. Negara ini amanah atas kalian untuk urus tadbir demi kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles