Keadaan semasa negara yang masih terkesan akibat penularan wabak COVID-19 memerlukan kerjasama dan muafakat dari seluruh ahli parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021.
Ketua Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ir Khairil Nizam Khirudin berkata sama ada ahli parlimen dari pihak kerajaan atau pembangkang, kedua-dua pihak perlu sepakat memikirkan kepentingan rakyat dan negara.
“Ya, hari ini adalah pengundian di Dewan Rakyat bagi Akta Perbekalan yang membawa kepada kelulusan belanjawan negara sepanjang tahun hadapan.
“Akta yang memerlukan kepada kelulusan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini adalah kemuncak kepada pengawalan konflik dan krisis negara.
“Maka, kesepakatan dan kemuafakatan semua Ahli Parlimen amat diperlukan bagi memastikan akta itu diluluskan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Tambahnya lagi, jika ada dalam kalangan ahli parlimen yang tidak bersetuju sekaligus memberi kesan kepada jumlah undi Belanjawan 2021, ia pastinya akan memberi tekanan yang lebih besar kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.
“Perpaduan akan tercapai sekiranya kita berjiwa besar dan bertolak ansur menerima perubahan demi kepentingan negara dan rakyat.
“Oleh itu, kami merayu kepada semua Ahli Parlimen agar Belanjawan 2021 dapat diluluskan supaya kita sama-sama dapat memacu bersama untuk berhadapan dengan krisis ini dan meletakkan rakyat sebagai keutamaan, bukan sengketa politik yang tidak berkesudahan,” ujarnya.
Dalam masa yang sama Khairil Nizam menggesa kerajaan mengambil kira pandangan dan cadangan pindaan yang dikemukakan beberapa pihak demi kepentingan rakyat.
Tumpuan persidangan Dewan Rakyat pada hari ini pastinya bertumpu kepada pengundian Rang Undang-Undang Perbekalan 2021, selepas baki sembilan menteri membuat penggulungan bagi kementerian masing-masing yang dijadual selesai hari ini.
Ini merupakan belanjawan pertama di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak Perikatan Nasional (PN) mengambilalih kepimpinan kerajaan pusat pada Mac lalu.