KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong menolak kritikan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker terhadap hala tuju parti itu, dengan menegaskan sebarang keputusan mengenai keanggotaan Barisan Nasional (BN) atau masa depan MCA perlu dibuat secara kolektif dan bertanggungjawab.
Dalam kenyataan hari ini, Neow berkata BN bukan sekadar satu gabungan politik, sebaliknya sebahagian daripada “DNA politik Malaysia” dan peranan MCA di dalamnya tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Menurutnya, keluar daripada BN bukan pilihan yang lebih baik tanpa penilaian yang teliti.
“Awak kata MCA tiada hala tuju. Dengan hormat, mungkin awak sudah tidak mengikuti perkembangan kerana tidak lagi memegang jawatan utama selepas gagal mempertahankan kedudukan Naib Presiden dalam pemilihan lalu,” katanya sambil menambah MCA sedang berusaha bergerak ke hadapan “melalui langkah yang betul dan berlandaskan prinsip.”
Neow turut menolak perbandingan dengan DAP yang disifatkannya sebagai “parti yang hidup atas sentimen dan perkauman,” sambil menegaskan MCA kekal sebagai parti demokratik yang berpegang pada nilai dan prinsipnya sendiri.
Menurutnya, sebarang keputusan sama ada kekal atau keluar daripada BN perlu melalui perbincangan di peringkat bahagian, kemudian negeri, dan akhirnya dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).
“Saya akui memang ada suara berbeza dalam MCA. Ada yang mahu keluar, ada yang mahu kita kekal berwaspada. Tetapi adakah anda cadangkan suara anda seorang sahaja mengatasi semua yang lain?” soalnya.
Neow menegaskan politik bukan perlumbaan singkat, sebaliknya berkaitan dengan masa dan strategi. Beliau menggesa Ti menyumbang idea secara konstruktif kepada kepimpinan parti dan bukannya menimbulkan keraguan dari luar.
“Fokus kita ialah berkhidmat kepada rakyat dan menangani isu kos sara hidup, terutama ketika ekonomi tertekan. Di peringkat Pemuda MCA, kami akan berdiri teguh apabila kepimpinan membuat keputusan — tetapi keputusan itu mesti dibuat melalui libat urus bersama ahli, NGO, badan pemikir dan masyarakat luas,” jelasnya.
Neow yang turut Menolak dakwaan bahawa parti itu “melengah-lengahkan tindakan,” berkata kepimpinan MCA sebenarnya sedang mengamalkan politik yang bertanggungjawab dengan mendengar, berunding dan bertindak pada masa yang sesuai.
“Saya harap Datuk Seri lebih bertanggungjawab dan berhemah ketika menyuarakan pandangan. Perbezaan pendapat dihormati, tetapi semua mesti patuh pada prinsip, nilai dan disiplin parti,” katanya.
Baru-baru ini Bekas Timbalan Menteri Belia Dan Sukan itu berkata MCA dilihat masih terperangkap dalam kelangsungan hala tuju politik berbanding MIC yang lebih jelas dan tegas untuk melangkah daripada terus menjadi sekadar pelengkap ‘hiasan’ dalam Barisan Nasional (BN).
Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, perkara itu membimbangkan kerana kepimpinan parti berkenaan kini tidak menunjukkan ketegasan pada saat paling diperlukan.
Beliau turut memberi amaran bahawa akar umbi mungkin akan mencari haluan sendiri, manakala kepimpinan pusat terus tercungap-cungap mengejar keadaan.