Pemuda DAP Lapor Polis Terhadap Fadhli Berhubung Hantaran Didakwa Hina Raja

KUALA LUMPUR: Pemuda DAP membuat laporan polis terhadap Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berhubung hantaran di media sosial yang dianggap menghina institusi diraja.

Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Subang, Amirul Amin Mohd Basri, berkata hantaran dibuat Ahli Parlimen Pasir Mas itu menimbulkan kebimbangan dan kritikan pelbagai pihak.

Amirul berkata, hantaran itu didakwa menggunakan kiasan yang boleh ditafsirkan sebagai sindiran terhadap Yang di-Pertuan Agong, terutama dalam konteks kuasa prerogatif pengampunan.

“Pemuda DAP mengambil tindakan ini kerana kami menganggap penghinaan terhadap institusi diraja sebagai satu perkara yang amat serius dan bertentangan dengan nilai penghormatan kepada undang-undang,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Sea Park, lapor FMT.

Baru-baru ini, Fadhli menerusi Facebook memuat naik hantara berbunyi: “Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban.”

Hantaran itu dibuat selepas Umno memutuskan tidak meneruskan perhimpunan solidariti bersama bekas presiden Najib Razak, hari ini, kerana menjunjung titah Agong.

Sebelum itu, Istana Negara mengingatkan semua pihak menghormati kuasa prerogatif Agong dalam mengampunkan atau mengurangkan hukuman seseorang banduan dan menggunakan saluran perundangan ditetapkan.

Bagaimanapun, Fadli menafikan kiasan sinis di media sosialnya Jumaat lalu mempunyai kaitan dengan Yang di-Pertuan Agong, dan sedia disiasat.

BBerkaitan

Latest articles