Pemuda Berdepan Lima Pertuduhan Amang Seksual Budak 9 Tahun

AYER KEROH: Bahana nafsu, seorang pemuda bakal dihukum sebat dan penjara selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal termasuk menjilat kemaluan adik rakannya berusia sembilan tahun, bulan lalu.

Tertuduh, Ahmad Dzul Fiqar Ahmad Fardzil, 21, tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus lima pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Mengikut empat pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menjilat dan memegang kemaluan serta mencium mulut mangsa yang berusia sembilan tahun bagi maksud seksual.

Bagi kesalahan itu dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pembantu kedai makan itu turut berdepan satu lagi pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa persetujuan mangsa sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 377C kanun sama.

Semua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah pangsa di Ayer Keroh antara pukul 10 malam hingga 1 pagi, 31 Mei lalu.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan, selain memohon syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jumlah jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya berkerja sebagai pembantu kedai makan selain keluarganya kurang berkemampuan.

Hakim Haderiah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM25,000 bagi semua pertuduhan dan membenarkan syarat-syarat tambahan dipohon oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 8 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Kejadian terbongkar kira-kira pukul 6.30 pagi 1 Jun lalu selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada pengadu yang juga ibunya, berusia 40 tahun.

Mangsa mendakwa rakan abangnya yang datang melepak di rumah mereka telah memegang kemaluannya, selain menyuruhnya memegang kemaluan tertuduh ketika berada di ruang tamu rumah.

Pengadu ketika itu meninggalkan mangsa bersama abangnya dan tertuduh kerana mahu ke pasar malam di Bandar Melaka sebelum abangnya juga keluar selepas itu meninggalkan mereka berdua.

BBerkaitan

Latest articles