Pemuda Amanah Gesa Rakyat Beri Sokongan Kepada Menteri Tangani Isu Beras

KUALA LUMPUR: Semua pihak disarankan untuk memberi peluang dan bersikap adil kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dalam menangani isu bekalan serta harga beras di negara ini.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda, berkata Mohamad Sabu sejak memegang jawatan tersebut bukan sahaja berdepan dengan isu beras, tetapi juga cabaran dalam memastikan bekalan telur dan ayam mencukupi.

“Masalah telur sudah selesai sehingga hampir 100 peratus. Selain itu, isu bekalan dan harga ayam juga berjaya ditangani,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Amanah di sini, hari ini.

Menurutnya, cabaran utama yang dihadapi oleh kementerian adalah kontrak konsesi beras yang masih berlanjutan sehingga 2031.

“Terdapat obligasi yang perlu dipenuhi dalam konsesi ini, namun ia bukan sekadar isu harga kerana hak menetapkan harga adalah milik pihak konsesi,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kebajikan pesawah perlu lebih diberi perhatian dan tidak hanya menguntungkan pihak tertentu.

Mohd Hasbie turut mendakwa bahawa sebelum ini, kerajaan menerima sumbangan daripada syarikat konsesi, tetapi dana tersebut dimasukkan ke akaun parti politik yang memanfaatkannya untuk pilihan raya.

“Bezanya sekarang, pemimpin kita mendapat sumbangan dan menyalurkannya terus kepada pesawah. Kita mahu keuntungan daripada golongan kaya diberikan kepada golongan yang lebih memerlukan,” tambahnya.

Beliau menekankan bahawa konsep keadilan ekonomi, termasuk dalam Islam, menuntut agar kekayaan diagihkan secara adil kepada golongan yang lebih memerlukan.

BBerkaitan

Latest articles