Pempengaruh Media Sosial Disiasat Atas Dakwaan Sebar Maklumat Palsu, Dedah Data Peribadi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap seorang pempengaruh media sosial selepas menerima aduan awam berhubung penyebaran maklumat palsu dan pendedahan maklumat peribadi tanpa kebenaran.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), dengan dua sesi rakaman percakapan telah diadakan di Ibu Pejabat MCMC pada 25 dan 28 April lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati kandungan yang dikaitkan dengan pempengaruh terbabit melibatkan penyebaran dakwaan tidak berasas terhadap Institusi Diraja serta cubaan mendedahkan maklumat peribadi individu tertentu dengan niat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu,” kata kenyataan itu.

MCMC turut menegaskan bahawa tindakan tersebut boleh mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah serta mengancam keselamatan individu terlibat.

Badan itu memberi jaminan bahawa semua aduan disiasat secara profesional dan adil, tanpa mengira populariti atau pengaruh mana-mana pihak.

Pada masa sama, MCMC mengingatkan orang ramai bahawa penyebaran kandungan berkaitan isu 3R – agama, kaum dan Institusi Diraja – serta kandungan bersifat mengancam atau menceroboh privasi adalah kesalahan serius yang boleh diambil tindakan undang-undang.

Terdahulu, pempengaruh berkenaan hadir di Ibu Pejabat MCMC sekitar jam 11.19 pagi untuk memberikan keterangan.

Beliau sebelum ini memaklumkan melalui media sosial bahawa dirinya dipanggil pihak berkuasa susulan tawarannya untuk melakukan semakan latar belakang terhadap Nurul Izzah Anwar, anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, tindakan MCMC memanggil pempengaruh tersebut menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Ada pihak yang menganggap ia sebagai keterlaluan dan berpotensi menjadi bentuk penyalahgunaan kuasa, memandangkan individu itu sebelum ini pernah melakukan semakan terhadap beberapa tokoh politik lain seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Lim Guan Eng tanpa dikenakan tindakan serupa.

MCMC dalam pada itu menyeru semua pengguna internet untuk menggunakan platform media sosial dengan bertanggungjawab bagi mengelakkan implikasi undang-undang.

BBerkaitan

Latest articles