Pemindahan Rakyat Malaysia Di Iran Bermula Jumaat Ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia mengarahkan semua rakyatnya yang berada di Iran termasuk pegawai perwakilan, pelajar dan pelancong untuk segera meninggalkan negara itu ekoran situasi keselamatan yang semakin meruncing.

Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, arahan tersebut dikeluarkan selepas taklimat oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Jemaah Menteri berhubung situasi semasa di Iran.

“Mereka telah diarahkan untuk bergerak keluar dari Iran dan semua urusan berkaitan visa juga telah dimuktamadkan. Insya-Allah, mereka dijangka memulakan perjalanan keluar dalam tempoh satu hingga dua hari, iaitu sekitar 20 Jun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan turut mengenal pasti jumlah rakyat Malaysia yang berada di Iran, namun angka yang berdaftar adalah tidak terlalu besar.

Walau begitu, semua telah dimaklumkan dan dinasihatkan agar segera meninggalkan negara tersebut menggunakan kaedah selamat dan tersedia.

Tegas Fahmi, langkah pemindahan ini adalah sebahagian daripada pelan kesiapsiagaan dan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara, terutamanya apabila wujud risiko keselamatan yang tidak menentu.

Semalam, Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan menggesa rakyat Malaysia di Iran supaya meninggalkan negara itu serta-merta, memandangkan keadaan di sana yang diklasifikasikan sebagai tidak stabil dan berpotensi meruncing tanpa amaran awal.

“Kedutaan Besar Malaysia di Tehran sedang berhubung rapat dengan semua rakyat Malaysia yang berdaftar dan setakat ini, mereka disahkan selamat. Mereka telah dinasihatkan agar segera berlepas dari Iran,” menurut kenyataan tersebut.

Kerajaan juga memberi jaminan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Tehran akan terus menyediakan segala bentuk bantuan konsular yang diperlukan termasuk koordinasi logistik, pemprosesan dokumen dan perjalanan keluar.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa terjamin, terutamanya di kawasan yang berdepan ketegangan geopolitik.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang masih berada di Iran dan belum mendaftar dengan kedutaan diminta berbuat demikian dengan segera untuk memudahkan proses pemantauan dan bantuan sekiranya diperlukan.

BBerkaitan

Latest articles