Pemimpin Yang ‘Terluka’ Tetap Pilih, Setia Dengan UMNO

ALOR SETAR: Pimpinan UMNO Kedah yang mungkin terluka apabila individu pilihan mereka tidak diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijangka tetap setia dengan parti itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pihaknya sudah menemui dan berbincang bersama pimpinan terbabit bagi menerangkan mengapa calon tertentu dipilih di kawasan berkenaan.

Jelasnya, pimpinan di kawasan terbabit menerima penjelasan dibuat dan berjanji akan membantu memenangkan calon yang dipilih pucuk pimpinan BN serta tidak akan melakukan protes.

“Tak ada protes, tetapi biasalah apabila tiba PRU, pasti akan ada calon tertentu yang dimahukan untuk bertanding. Tetapi saya sifatkan UMNO ini umpama penyu di Rantau Abang, Terengganu.

“Sesudah bertelur, penyu akan berenang ke sana-sini termasuk ke negara lain, tetapi apabila nak bertelur saja, dia mesti balik ke Rantau Abang. Begitu juga UMNO, kadang-kadang ada juga yang terluka, tetapi akhirnya, masing-masing akan balik semula,” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon Parlimen BN Kedah di Bangunan Tunku di sini, hari ini.

Sebelum ini, timbul dakwaan Bahagian UMNO di Kuala Kedah dan Langkawi menyuarakan rasa tidak puas hati selepas individu luar diumumkan sebagai calon di kawasan berkenaan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin.

Pada majlis pengumuman berkenaan, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dicalonkan sebagai calon di Kuala Kedah, manakala bekas Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Kedah, Datuk Armishah Siraj di Langkawi.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, pihaknya juga yakin sasaran BN Kedah untuk menang 10 kerusi Parlimen di negeri ini dapat dicapai berdasarkan perkiraan dan maklumat yang dikumpul jentera parti.

“Jumlah 10 kerusi yang ditetapkan Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) bukan suatu beban buat kita. Jentera yang buat perkiraan seorang demi seorang selain beberapa maklumat lain sebelum membuat kesimpulan (mampu menang 10 kerusi).

“Kalau kena caranya kita berkempen dan memujuk pengundi supaya balik mengundi BN, saya rasa sasaran 10 kerusi adalah sangat relevan dan boleh dicapai dan jika dapat lebih lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman serta rekod lampau BN dalam menerajui negara diyakini mampu menjadi asas bagi mengembalikan sokongan kepada parti itu pada PRU15.

“Rakyat sudah melihat bagaimana kerajaan dan urus tadbir negara berubah sebelum ini. Masing-masing sudah dapat lihat rekod lampau BN, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional mentadbir negara dan boleh membuat penilaian.

“Saya meletakkan keyakinan sangat tinggi bawah semua pengalaman dalam kalangan menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen dari BN dapat dijadikan modal untuk memikat pengundi dalam PRU kali ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles