Pemimpin UMNO Puji PM Berucap Dalam BM, “Tak Menjadikan Malaysia Terkebelakang”

KUALA LUMPUR: Inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggunakan Bahasa Melayu ketika berucap semasa lawatan rasminya ke Brunei, Kemboja dan Thailand baru-baru ini perlu disanjung dan dicontohi oleh kesemua pihak.

Dalam satu kenyataan bersama, sekumpulan pemimpin UMNO percaya inisitif untuk mengutamakan bahasa Melayu dapat meletakkan bahasa kebangsaan itu ke persada yang lebih luas terutamanya di rantau Asean.

Hal ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu.

“Jadi pemimpin lain tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu ini untuk menyampaikan ucaptama dalam sesuatu program bertaraf antarabangsa.

“Kami yakin, kita tidak akan terkebelakang sekiranya kita menggunakan bahasa kebangsaan apabila berada di pentas antarabangsa, malahan akan lebih berbangga sebagaimana dengan negara lain yang sentiasa menggunakan bahasa ibunda mereka dalam sesuatu program yang melibatkan dunia luar,” kata mereka pada satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan secara bersama oleh; Ahli Majlis Tertinggi UMNO Fathul Bari Mat Jahya; Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Rizalman Mokhtar; Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Mohd Yusof Ismail; Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said; Ketua UMNO Bahagian Beruas, Mohd Ridhwan Mohd Ali; Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Mohd Ridhwan Mohd Ali; Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Zaluzi Sulaiman; Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Ismail Lassim; Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Zurihan Yusop; Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Zakaria Dullah dan Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed.

Ketika mengadakan lawatan ke Bangkok baru-baru ini, Ismail Sabri mengumumkan bahawa Malaysia akan menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara, termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Ujarnya tiada apa yang perlu dimalukan dengan pengumuman berkenaan, bahkan sepatutnya berbangga kerana Malaysia perlu menjuarai Bahasa Melayu sebagai bahasa Asean.

Memetik kenyataan pemimpin UMNO tersebut, mereka mahu usaha dilibatkan oleh pelbagai pihak untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai lingua franca kepada masyarakat Asean di Brunei, Singapura, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja, Filipina, Myanmar dan Thailand.

Mereka turut menggesa teladan ditunjukkan Ismail Sabri itu disambut baik oleh semua pihak dalam negara, baik kerajaan mahupun swasta, dengan turut menggunakan bahasa kebangsaan dalam sebarang urusan rasmi dalam negara.

“Melihat perkembangan yang diteladani perdana menteri, pentas antarabangsa adalah platform terbaik untuk kita memaparkan bahasa yang kita gunakan dalam negara kita, kini sudah tiba masanya untuk kita menggunakan bahasa kita di pentas antarabangsa.

“Gunakan kesempatan ini untuk memperkenalkan kita di mata dunia.”

BBerkaitan

Latest articles