KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meraikan tindakan pemimpin Bersatu Sabah meninggalkan parti itu, selain menyifatkan ia satu keputusan tepat.
Malah Presiden UMNO itu percaya keputusan yang diambil oleh Bersatu Sabah yang dipimpin oleh Datuk Seri Hajiji Noor adalah satu tindakan sukar.
Bagaimanapun, langkah yang diambil oleh kepimpinan Bersatu Sabah itu sesuatu yang perlu dilakukan demi rakyat dan negeri itu.
“Keputusan yang tepat diambil oleh pemimpin-pemimpin Sabah.
“Keputusan yang sukar namun tetap dilakukan demi masa depan negeri dan kepentingan rakyat Sabah,” kata Ahmad Zahid ringkas di media sosial.
Ketua Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor membuat pengumuman hari ini setelah mempertimbangkan keadaan lanskap politik negara ketika ini terutama di Sabah.
Menurutnya, semua bekas ahli Bersatu Sabah termasuk beliau akan menubuhkan sebuah parti tempatan baharu tetapi buat masa ini akan menjadi ahli GRS.
“Melangkah ke hadapan, kami akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini kami secara kolektif akan menjadi ahli GRS.
“Kami berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Hajiji berkata, keputusan kepimpinan Bersatu Sabah untuk meninggalkan Bersatu adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.
Ini katanya kerana di peringkat Persekutuan Bersatu adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.