SEPANG: Pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd, direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penipuan umrah.
Turut direman adalah beberapa kakitangan syarikat agensi pelancongan itu.
Peguam yang mewakili pasangan terbabit, Iman Norhizam berkata, perintah reman itu dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan selama tiga hari sehingga Sabtu ini.
“Selain pasangan terbabit, enam pekerja syarikat agensi pelancongan itu juga direman tiga hari,” katanya kepada media hari ini.
Iman berkata, anak guamnya memberi kerjasama baik kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan.
Semalam, media melaporkan pasangan itu ditahan polis ketika baru sahaja selesai mengadakan sidang media dan perjumpaan bersama jemaah yang terlibat.
Tangkapan dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kira-kira jam 7 petang selepas mengadakan sidang media bersama sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan semalam berkata, tujuh laporan polis diterima membabitkan kesalahan penipuan pakej umrah dengan keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM2.1 juta yang dialami 379 mangsa.
Selasa lalu, kecoh di media sosial apabila kira-kira 300 jemaah umrah terkandas apabila penerbangan mereka ke Tanah Suci ditunda syarikat pengendali umrah itu.